IPOH - Keluarga seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang didakwa menjadi mangsa cabul rakan lelakinya meluahkan rasa tidak puas hati kerana tiada pembelaan dilaksanakan walaupun kejadian tersebut berlaku lebih empat bulan lalu.
Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 29, kesal kerana sehingga hari ini remaja lelaki itu masih bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan.
Dia mendakwa, adiknya mengenali remaja lelaki berusia 16 tahun itu di laman sosial Facebook sejak Mei lalu.
“Selepas beberapa hari, adik saya ditemui dan dibawa ke balai polis sebelum dia mengaku sudah ternoda akibat melakukan seks dengan suspek,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri, di sini, semalam.
Berikutan itu, Lee membuat laporan polis bagi memastikan remaja terbabit dikenakan tindakan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan dilakukan.
“Sepatutnya pihak berkuasa mengambil berat kes seperti ini supaya perkara sama tidak berlaku ke atas remaja lain.
“Biarpun ada pihak mendakwa hubungan seks itu dilakukan secara suka sama suka namun ia tetap satu jenayah rogol kerana adik saya masih di bawah umur dan bersekolah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, keputusan siasatan kes tersebut juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 28 Jun lalu namun polis menerima arahan supaya tiada tindakan lanjut dilakukan memandangkan tidak ada cukup bukti untuk pendakwaan.
Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri, Mohd Rawi Abdullah memohon supaya polis mengkaji semula kes tersebut dengan segera.
Menurutnya, tindakan harus diambil segera supaya seks bebas antara remaja bawah umur dapat dielakkan daripada berleluasa.