Gambar hiasan
MUAR – Terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan berupa wang tunai RM155,000, seorang warga emas terpaksa berputih mata apabila kerugian sebanyak RM109,570, setelah diperdaya dua individu menyamar sebagai ejen jualan langsung.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, jumlah kerugian itu membabitkan 13 transaksi pembayaran yang dilakukan mangsa sejak September tahun lalu hingga awal bulan ini.
Menurutnya, September tahun lalu, mangsa yang bekerja kilang berusia 58 tahun telah didatangi kedua-dua suspek semasa berada di rumahnya di Tanjung Agas, Ledang.
“Suspek juga menawarkan beberapa hadiah menarik berupa wang tunai tetapi perlu memasukkan sejumlah wang dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.
Beliau berkata, suspek juga meminta membayar wang insurans RM10,000 untuk kedua- dua peralatan tersebut sebelum ditawarkan hadiah wang RM155,000.
Katanya, wanita terbabit menyedari ditipu selepas menceritakan perkara sebenar kepada anak saudaranya setelah menunggu hadiah wang yang dijanjikan tidak diperolehi sehingga kini.
“Anak saudara mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan identiti pihak yang menjual peralatan tersebut selepas didapati tidak wujud syarikat seperti didakwa.
“Anak saudara mangsa juga cuba menghubungi suspek tetapi talian telefon itu sudah tiada dalam perkhidmatan,” katanya.
Katanya lagi, mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran untuk melaporkan penipuan yang menimpanya itu.
“Sindiket ini sangat licik memperdaya mangsa dengan menggunakan taktik tertentu termasuk menggunakan nama Bank Negara bagi meyakinkan mangsa.
“Kita sedang membuat siasatan rapi untuk mengesan dan menjejaki kedua-dua suspek berusia 30-an ini yang masih bebas untuk mengelakkan ramai menjadi mangsanya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Nasir menasihati orang ramai supaya berwaspada jika didatangi individu yang tidak dikenali di rumah masing-masing dan sebaiknya terus membuat laporan di balai polis berhampiran.