Ahad, 9 September 2012

Pelajar kolej warga Nigeria disamun jiran


SHAH ALAM – Seorang pelajar kolej disamun jiran sendiri dalam kejadian di Blok B Pangsapuri Kempas, Cheras Hartamas, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, warga Nigeria, berusia 35 tahun, didatangi jiran lelaki berusia 17 tahun bersama enam rakannya, kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa mahu keluar rumah untuk bertemu rakannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebaik mangsa membuka pintu, kumpulan penjenayah yang bersenjatakan kayu dan cota itu terus menolak mangsa masuk ke rumah.
Beliau berkata, mangsa diarahkan supaya tidak melawan dan kaki serta tangannya diikat.
Katanya, barang berharga antaranya jam, telefon bimbit, wang tunai, kamera dan komputer riba bernilai hampir RM10,000 dilarikan.
“Siasatan mendapati, mangsa mengatakan mengenali seorang suspek iaitu jirannya yang tinggal di blok sama. Lelaki itu ditahan kira-kira jam 3 pagi.
“Tiga lagi rakannya, berusia 23 hingga 29 tahun, ditahan di Taman Bukit Segar, Bandar Baru Sentul dan Bandar Tun Razak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Beliau berkata, polis menemui tiga telefon bimbit dipercayai milik pelajar kolej terbabit.
“Barang lain milik mangsa masih disiasat sama ada disembunyikan atau sudah dijual,” katanya.
Mohd Adnan berkata, tiga lari rakan suspek sedang diburu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...