Bekas pekerja kedai makan, Victoria Marie Ng Shui Shen, 33, menunjukkan salinan laporan polis dan salinan gambar bekas majikannya, Yeoh Kim Kean, semasa mengadakan sidang akhbar di pejabat Gerakan negeri di George Town, P.Pinang |
GEORGE TOWN: Seorang wanita yang kini diganggu beberapa pemberi pinjaman wang haram atau Ah Long, mendakwa semua itu gara-gara salinan kad pengenalannya disalahgunakan majikannya yang kini telah menghilangkan diri.
Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia parti Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh berkata Victoria Marie Ng Shu Shen, 33, percaya salinan kad pengenalannya telah digunakan oleh majikannya itu untuk menjadi penjamin pinjaman tersebut.
Katanya Ng mengaku memberikan salinan kad pengenalannya kepada pemilik kedai nasi ayam itu untuk tujuan mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Selepas itu, beliau didatangi oleh lapan orang Ah Long dan mendapat banyak panggilan meminta hutang...beliau tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian pinjaman dari Ah Long...tidak ada kaitan langsung dengan Ah Long," katanya pada sidang media di sini Selasa.
Katanya Ng yang mula bekerja di kedai itu sejak Ogos lepas terpaksa berhenti kerja setelah majikannya itu menghilangkan diri pada 17 September lepas dan turut tidak menerima gaji selama tempoh bekerja.
Sehubungan itu, Baljit Singh meminta lelaki itu tampil menyelesaikan segera masalah itu dan berharap kumpulan Ah Long berkenaan berhenti mengganggu mangsa memandangkan dia tiada kaitan dengan urusan pinjaman itu.
Sementara itu, wanita itu menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika memberikan salinan kad pengenalan kepada mana-mana pihak bagi mengelak daripada menerima nasib yang sama. - BERNAMA