TEMERLOH - Seorang pemilik perniagaan aksesori motosikal dan minyak hitam mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila cermin empat lori milik syarikatnya dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian Ahad lalu.
Pemilik perniagaan yang dikenali sebagai Lau, 40-an, berkata, kesemua empat lori yang diletakkan di hadapan premisnya dekat Taman Perindustrian Temerloh, rosak teruk pada cermin hadapan dan sisi.
Menurutnya, kejadian disedari orang awam yang keluar bekerja pada pagi Isnin lalu apabila mengesyaki berlaku perbuatan khianat lalu menghubungi seorang kakitangan syarikatnya.
Lau berkata, dia tidak mengetahui apakah motif lelaki terbabit sehingga sanggup memecahkan cermin kenderaan syarikatnya.
Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV, lelaki berkenaan bertindak sendirian dengan memukul semua cermin lori menggunakan kayu atau besi dalam tempoh beberapa minit sahaja.
“Nasib baik cermin sebuah lori jenis Hicom lebih kukuh dan tidak mengalami kerosakan teruk, tetapi saya tetap kena baiki. Akibat kejadian itu saya mengalami kerugian kira-kira RM15,000,” katanya.
Lau berkata, dia sudah melaporkan kejadian itu kepada polis dan yakin pihak berkuasa dapat menangkap lelaki berkenaan berdasarkan rakaman CCTV.
Polis akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.