Jumaat, 16 November 2012

Pelanggan restoran maut dirempuh gengster berbalah

Gambar hiasan

PUCHONG – Perbalahan dua kumpulan lelaki di sebuah restoran di Bandar Kinrara Seksyen 1, di sini malam kelmarin berakhir tragedi apabila seorang pelanggan terbunuh dilanggar kereta seorang ahli kumpulan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiga lelaki menaiki sebuah kereta Proton Waja menyerbu ke restoran terbabit dan meluru ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menikmati minuman.

Seorang daripada penumpang kereta berkenaan dikatakan bertanya kepada kumpulan itu siapa yang memukul rakannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei berkata, kumpulan lelaki itu menafikan dakwaan  sehingga berlaku pertengkaran.

Menurutnya, kedua-dua kumpulan dikatakan berbalah sebelum kumpulan lelaki yang menyerbu restoran terbabit bergegas ke kereta semula.

Chien Fei berkata, pemandu kereta menghidupkan enjin dan terus menekan minyak dipercayai cuba melanggar kumpulan lelaki yang duduk di meja restoran terletak di luar kedai itu.

“Akibat memandu dipercayai dalam keadaan mabuk dan laju, kereta dipandu suspek merempuh seorang pelanggan yang dikatakan baru membuang air kecil di tepi jalan.

“Mangsa berusia 35 tahun, disahkan mati di tempat kejadian. Suspek berusia lingkungan 50-an diberkas polis di rumahnya di Bandar Kinrara 2, sejam selepas kejadian berlaku,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...