Jumaat, 16 November 2012

Pengurus Ladang & Penolongnya Diculik Di Lahad Datu


KOTA KINABALU: Seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah, pada Rabu.
Ladang tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedua-dua mangsa lelaki itu berusia 25 dan 33 tahun itu, dari Semenanjung, dan mempunyai tali persaudaraan itu menggunakan nama keluarga Tung.
Beliau berkata kedua-dua mangsa itu dipecaray diculik antara pukul 3.30 petang dan 4.30 petang dan setakat ini, tiada tuntutan atau pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam penculikan tersebut.
Hamza berkata semasa kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama dua pekerja mereka yang sedang menjalankan kerja harian di rumah sarang burung walit (dalam kawasan ladang kelapa sawit) telah didatangi oleh lima lelaki yang bersenjata api dan seorang daripada mereke memakai topeng.
"Mereka yang menggunakan logat 'Suluk' kemudian telah menculik mangsa dan membawa mereka dengan menaiki bot engin sangkut lalu menghilangkan diri dari pantai Lahad Datu," katanya pada media di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini, Khamis.
Hamza berkata polis mengkelaskan kes itu sebagai culik dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Katanya jumlah kerugian berdasarkan laporan daripada keluarga mangsa ialah sekitar RM28,000.
"Setakat ini motif kes ini kita percaya rompakan dan kita tidak tahu kenapa mereka diculik, dan antara barang yang dilarikan ialah telefon bimbit, rantai emas, cincin emas dan dua set kunci kereta pacuan empat roda," katanya.
Hamza berkata sebaik sahaja menerima laporan angoota keluarga mangsa pada kira-kira pukul 4.45 petang, polis bersama pasukan keselamatan lain termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan gerakan mengesan mangsa culik itu. Ditanya sama ada kes penculikan itu dirancang dan penculik yang memakai topeng itu merupakan dalangnya, beliau tidak menolak kemungkinan itu sambil berkata: "Lelaki pakai topeng itu mungkin kenal dengan orang di sini...kalau tidak, saya tidak percaya ada keperluan pakai topeng".
Mengenai kemungkinan pembabitan kumpulan Abu Sayyaf dalam kes itu, katanya tiada petanda setakat ini namun siasatan akan merangkumi semua aspek termasuk pembabitan kumpulan itu.
Hamza berkata polis Sabah sedang bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran bagi mengesan mangsa dan kumpulan penculik itu.
Ditanya sama ada mangsa culik itu masih berada di negara, Hamza berkata beliau tidak pasti sama ada mereka masih berada di kawasan itu atau dilarikan ke negara jiran.Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah mengarahkan pihak berkuasa terutamanya polis marin supaya membuat siasatan rapi berhubung kes penculikan itu. "Pesuruhjaya Polis telah memaklumkan kepada saya berhubung kes itu dan saya telah meminta semua pihak berkuasa yang berkenaan untuk menggerakkan anggota mereka dan mengesan lokasi mangsa culik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Musa, yang juga Pengerusi Keselamatan negeri, berkata fakta kes itu masih tidak jelas dan oleh itu masih terlalu awal untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.
"Sehingga siasatan rapi dibuat, saya minta orang ramai bertenang dan tidak membuat spekulasi mengenai kes ini. Pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan kes ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan peringkat daerah itu,berkata beliau terkejut dengan insden itu apatah lagi setiap mesyuarat pihak keselamatan memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di perairan Lahad Datu terkawal.
"Keadaan di Lahad Datu adalah tenang meskipun insiden penculikan itu sudah melepasi beberapa jam. Kita dimaklumkan bahawa mangsa yang diculik itu memiliki ladang sawit dan pusat penternakan burung walit," katanya kepada Bernama, di sini.Rata-rata penduduk di sini tidak menyangka insiden penculikan itu berulang selepas sembilan tahun peristiwa penculikan enam pekerja Paradise Resort dekat sini berlaku pada awal Oktober 2003. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...