Jumaat, 16 November 2012

Mayat Kanak-Kanak Ditemui Selepas 5 Hari Dilapor Hilang


SANDAKAN: Usaha mencari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilapor hilang di Kampung Garinono di sini sejak Sabtu lepas, berakhir dengan penemuan mayatnya pada Rabu.
Mayat Hadziq Hassan ditemui dalam kawasan ladang kelapa sawit oleh juruukur swasta yang melakukan tugas mengukur tanah di kawasan itu kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat terakhir dia dilihat iaitu di kawasan hadapan sebuah rumah.
Punca kematian kanak-kanak itu belum diketahui dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.
Hadziq dilapor hilang pada 10 November lepas, ketika dia dan kedua ibu bapanya yang tinggal di Kampung Kenangan Manis di Batu 12, ke kampung tersebut untuk menghadiri majlis perkahwinan anggota keluarga mereka.
Mangsa didapati hilang antara pukul 11 pagi dan 12 tengah. Kali terakhir mangsa dilihat sedang bermain-main di hadapan sebuah rumah.
Polis yang menerima laporan mengenai kehilangan mangsa melancarkan operasi mencari bersama penduduk kampung. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...