Khamis, 1 November 2012

Tangan mangsa ditetak dengan parang oleh penyamun

Gambar hiasan

GOMBAK: Seorang pekerja kilang kerugian RM2,500 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Melayu, Desa Jaya, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa berusia 40 tahun menaiki motosikal melalui Jalan Sierramas, sebelum tiba-tiba dipintas sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang mengarahkannya supaya berhenti.


Menurut sumber, mangsa pada mulanya enggan berhenti dan memecut laju namun gagal apabila lelaki itu mengekori dan menghalang laluan mangsa menyebabkan terpaksa menekan brek secara mengejut.



“Lelaki terbabit yang memakai topi keledar berpenutup penuh kemudian terus menghampiri mangsa dengan membawa sebilah parang sebelum menetak tangan mangsa.


“Walaupun mangsa sempat bergelut namun lelaki itu sempat merampas dompet miliknya berisi wang tunai sebanyak RM2,500,” katanya.



Sumber berkata, sebaik mendapat wang itu, lelaki terbabit terus melarikan diri dan membiarkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.




“Mangsa yang tercedera kemudian mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan menerima beberapa jahitan.


“Bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya,” katanya ketika ditemui.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...