KUALA LUMPUR: Dua suspek yang terlibat dalam kes tembakan yang mencederakan seorang anggota polis dalam sekatan jalan raya di Gua Musang pada Isnin telah ditembak mati oleh polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata suspek berjaya melarikan diri selepas menembak Lans Koperal Mohd Shamsul Anuar Mohd Adnan, 27, di dada di Taman Tropika pada pukul 1 pagi.
Beliau berkata suspek kemudiannya merampas dan melarikan kereta Myvi bersama-sama seorang bayi di dalamnya.
Bagaimanapun suspek tidak dapat pergi jauh kerana pihak polis berjaya mengesan kereta berkenaan dan suspek mati dalam kejadian tembak-menembak dengan anggota polis.
Dalam kejadian itu, Koperal Mohd Shamsul ditembak di dada selepas beliau mengejar suspek yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Shamsul yang dari balai polis Paloh bersama-sama lima anggota yang lain terlibat dalam sekatan jalan raya itu ekoran kejadian pecah rumah seorang ahli perniagaan di Taman Tropika, Gua Musang.
Dua individu lelaki dipercayai terlibat melarikan dua buah kereta mewah, BMW dan Honda Accord.
Suspek kemudiannya membuat pusingan U apabila mereka menghampiri sekatan jalan raya yang dijalankan.
Shamsul Anuar, yang melihat kejadian tersebut merasakan ada sesuatu yang tidak kena kemudiannya mengejar suspek dengan menaiki motosikal dan berjaya memintas kereta BMW yang dinaiki suspek selepas kereta itu hilang kawalan sehingga terhumban ke dalam parit.
Suspek kemudiannya melepas tembakan sehingga terkena anggota polis itu di bahagian dada.
Kedua-dua suspek kemudiannya berjaya melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.