Kuala Lumpur, 8 April – Sempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, pihak polis menegaskan pelbagai peruntukan undang-undang akan digunakan untuk memastikan perjalanan PRU13 berjalan lancar.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata, “Antara undang-undang yang akan digunapakai ialah Kanun Keseksaan(akta 574), Akta Hasutan (Akta 15), Akta Perhimpunan Awam 2012, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), Akta Polis 1967 (Akta 334) dan Akta Perhimpunan Awam 2012”.
Dalam taklimat bersama pihak media yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, beliau turut menegaskan pihak PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dari mana-mana parti yang menyalahgunakan jawatan di dalam pasukan polis untuk tujuan politiknya.
Ini adalah ekoran dari satu insiden yang berlaku di mana baru-baru ini terdapat seorang bekas penjawat awam atau lebih tepat pegawai polis yang dirujuk sebagai mantan Pengarah Cawangan Khas dalam banner untuk ceramah beliau. Pihak polis menyeru supaya elemen tidak tepat ini dijauhkan supaya orang ramai tidak keliru.
Selain itu, orang ramai terutamanya golongan muda dinasihatkan supaya menghentikan tindakan yang membabitkan liabiliti jenayah.
Perbuatan sesetengah pihak seperti bertindak membakar atau menurunkan bendera atau mengoyak poster antara satu parti dengan parti lawan adalah tidak bertanggungjawab.
Sekiranya laporan dan tangkapan dibuat, tindakan tegas akan diambil oleh pihak polis dan ini akan menjejaskan masa depan anak-anak muda terutamanya yang masih lagi berada di tahap pengajian.