Kuala Lumpur, 9 April - Polis yang memantau media sosial bermula semalam mengesan 26 sentimen hasutan dan fitnah berkaitan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sentimen terbabit disebar menerusi blog dan juga media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Polis akan terus memantau blog serta laman sosial terbabit dan jika didapati mereka masih meneruskan dengan penyebaran sentimen berkenaan polis akan bertindak, katanya pada sidang media PRU13, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Ugutan ini termasuk juga usaha menakut-nakutkan orang ramai, katanya.
Sementara itu, beliau berkata sejumlah 32 laporan polis telah diterima di seluruh negara semalam membabitkan beberapa kesalahan seperti fitnah, hasutan, ugutan dan pergaduhan kecil.
Ramli berkata sejumlah 338 aktiviti politik berhubung PRU13 turut dilaporkan semalam di seluruh negara membabitkan ceramah umum, perjumpaan parti politik, kempen serta kegiatan pilihan raya yang lain.
"Kami minta mana-mana parti politik yang hendak berkempen mahupun menjalankan aktiviti politik, lakukanlah dengan berhemah dan bertanggungjawab, jangan timbulkan sebarang masalah yang boleh menggugat kestabilan negara," katanya.
Beliau turut mengingatkan parti-parti politik yang ingin menganjurkan aktiviti kempen seperti ceramah umum, supaya mengemukakan notis pemberitahuan kepada ketua polis daerah masing-masing seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. - BERNAMA