Gambar hiasan |
SHAH ALAM: Sebuah rumah teres yang dihuni dua pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Jalan Imam Abdul Aziz, Klang dekat sini dibakar, dipercayai kerana dendam, dalam satu kejadian awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, kejadian itu disedari pegawainya yang berpangkat Sub Inspektor dan Lans Koperal apabila kedua-duanya terdengar bunyi letupan di perkarangan rumah mereka kira-kira jam 3 pagi.
"Ketika kejadian, anggota saya sedang tidur dan bergegas keluar (dari bilik tidur) apabila terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.
Beliau berkata, bagaimanapun kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian oleh mangsa menggunakan air dari pili air di laman rumah itu.
"Polis tidak menolak kejadian ini berunsur dendam kerana pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui beberapa botol plastik yang mempunyai kesan minyak yang kita percaya digunakan dalam kejadian ini," katanya.
Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah jiran mangsa turut menunjukkan kelibat dua lelaki melakukan perbuatan itu.
"Kami masih melakukan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek dan berkemungkinan kedua-dua mangsa adalah sasaran berdasarkan bidang kerja masing-masing dan suspek yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," kata Shukor.
Sementara itu, pada sidang media berasingan, polis berkata, mereka turut memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan satu kes bunuh di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada 23 November 2011.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Adnan Abdullah berkata, lelaki itu dikenali sebagai Lim Mun Vei, yang alamat terakhirnya di No D 30A, Jalan Kowyan, Seri Kembangan.
Adnan berkata, orang awam yang mengenali Lim atau mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Inspektor Hazirah Qiffiah Hasim di talian 017-7087051 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA