Isnin, 20 Mei 2013

AWAS! KES PENYAMARAN PEGAWAI POLIS BUKIT AMAN


Terkejut diugut 'polis Bukit Aman'
SERI KEMBANGAN – Seorang suri rumah dan ahli perniagaan terkejut menerima panggilan telefon seorang lelaki, mendakwa mereka terbabit skandal wang haram di Hong Kong serta akan dikenakan tindakan.

Ahli perniagaan, Ng Chean Khow, 51, berkata, dia dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mohamed Ismail Yusof dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Rabu lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut mendakwa, dia dan dua rakannya ditahan polis Hong Kong kerana terlibat dalam aktiviti wang haram selain mempunyai satu akaun bank di negara itu untuk kegiatan terbabit.

"Lelaki itu menghubungi saya tiga kali dan menakutkan dengan dakwaan saya akan ditangkap serta didakwa di mahkamah.

"Saya diminta menghubungi satu talian antarabangsa yang didakwa sebagai nombor telefon polis Hong Kong untuk pengesahan kes," katanya.

Bagaimanapun, Chean Khow tidak terus menuruti arahan itu, sebaliknya membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan kerana yakin ia sindiket penipuan.

"Saya tidak ke Hong Kong, malah tak kenal dua lelaki yang disebut rakan itu.

"Saya juga hairan kerana lelaki berkenaan mengetahui segala maklumat peribadi saya, termasuk nombor MyKad, alamat rumah dan nombor telefon," katanya.

Seorang lagi mangsa, Goey Boey Huay, 51, berkata, menerima panggilan sama kira-kira jam 9.47 pagi, Khamis lalu, mendakwa nama dan nombor kad pengenalannya diguna sebagai penjamin dua individu dikenali dengan nama Lim dan Yap.

Menurutnya, pemanggil mengarahkan melunas hutang dua lelaki terbabit yang dikatakan sudah lari ke Hong Kong.

"Lelaki yang mendakwa polis itu bercakap kasar dan memberitahu akan datang ke rumah merogol anak perempuan saya jika gagal membayar hutang berkenaan.

"Memang saya takut kerana dia tahu alamat rumah dan butir peribadi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah menjadi penjamin sesiapa dan tidak pernah meminjam wang, malah tiada rakannya yang pergi ke Hong Kong.

“Saya juga tiada kad kredit yang boleh menjebak saya dalam masalah seperti didakwa ‘anggota polis’ itu,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, banyak menerima aduan sama diterima sejak lima tahun lalu.

“Suspek akan minta wang untuk menyelesaikan kes jika mangsa terpedaya dengan tipu helah mereka.

“Saya minta polis segera tahan dalangnya dan menggesa masyarakat tidak terpedaya dengan penipuan ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...