Isnin, 20 Mei 2013

Disamun 5 perompak 3 beradik rugi RM15,000


Nordin Manan
BANTING - Tiga beradik mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila beberapa barang berharga, termasuk wang tunai dilarikan lima penjenayah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, dua daripada mereka menonton televisyen di ruang tamu, manakala seorang lagi mencuci  pakaian di tingkat atas kediaman sebelum  dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, suspek dipercayai berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu berjaya memecah masuk kediaman terbabit berkenaan tanpa disedari mangsa.

"Empat daripada suspek berkenaan bertindak mengumpulkan semua mangsa di ruang tamu, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar kediaman dipercayai sebagai pemerhati.

"Mangsa diugut supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan sebelum suspek menyelongkar rumah berkenaan dan melarikan diri setelah menemui barang berharga," katanya.

Menurut Nordin, gerakan bagi mengesan lima suspek terbabit masih diteruskan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...