Isnin, 20 Mei 2013

Suami isteri dicari bantu siasatan kes penipuan jual rumah

Suami isteri dicari  bantu siasatan kes penipuan jual rumah
Pasangan suami isteri yang dicari polis bagi bantu siasatan
kes penipuan penjualan rumah di Selangor.

BANTING – Polis sedang mengesan suami isteri yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penipuan penjualan rumah di Selangor melalui iklan yang dikesan aktif sejak November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, polis menerima dua laporan daripada dua mangsa yang didakwa diperdaya melalui penjualan dua rumah di Bandar Saujana Putra.

Menurutnya, modus operandi mereka yang terlibat adalah dengan mengiklankan rumah untuk dijual.

“Suspek akan memperdayakan mangsa dengan meminta bayaran deposit sebanyak 10 peratus untuk jualan rumah.

“Difahamkan, setelah menerima bayaran berkenaan, suspek akan menghilangkan diri sehingga sukar dikesan," katanya.

Nordin berkata, suspek itu dipercayai aktif mengelirukan orang ramai dengan memberi maklumat memiliki sebuah syarikat teknologi maklumat di Petaling Jaya dan mengarahkan mangsa untuk membayar deposit melalui akaun syarikatnya.

Katanya, selain dua laporan diterima di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kuala Langat, enam lagi laporan sama turut diterima di enam lokasi di Selangor.

“Polis masih menjalankan siasatan walaupun difahamkan syarikat dan nombor akaun suspek tidak diaktifkan lagi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat pasangan tersebut dikehendaki berhubung terus menghubungi IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 atau mana–mana balai polis berhampiran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...