Isnin, 20 Mei 2013

Cuping telinga putus ditetak


BESUT - Seorang pesawah putus cuping telinga kiri, selain cedera di bahagian pipi dan betis selepas dilibas dengan senjata tajam ketika menunggang motosikal di Kampung Gong Nangka dekat Apal, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Suhaidi Zakaria, 34, ditetak oleh dua lelaki yang juga menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari sawah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pak Wong tidak jauh dari tempat kejadian.

Dikatakan apabila sampai di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Nangka, sebuah motosikal dinaiki dua suspek datang dari arah bertentangan lalu menghampiri motosikal mangsa sebelum menetak mangsa, kemudian melarikan diri.

“Akibat tetakan itu mangsa cedera di bahagian pipi dan betis kiri, termasuk putus cuping telinga. Bagaimanapun cebisan cuping telinga yang terputus berjaya ditemui semula di tempat kejadian,” katanya.

Kamaruddin berkata, selepas kejadian mangsa menunggang motosikalnya dan pulang ke rumah meminta bantuan adik perempuannya.

Menurutnya, adik perempuan mangsa yang berusia 26 tahun terkejut apabila mendapati abangnya cedera dan berlumuran darah pada pakaian.

Adik mangsa terus menghantar Suhaidi ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengenal pasti motif kejadian, manakala usaha mengesan suspek sedang dilakukan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan kecederaan parah.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...