Selasa, 11 Jun 2013

Dua kedai pengurup wang disamun, rugi RM50,000

Gambar hiasan

GEORGETOWN - Dua kedai pengurup wang di Batu Feringghi menjadi sasaran penjenayah apabila disamun dalam dua kejadian berasingan menyebabkan kerugian kira-kira RM 50,000 di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, tiga lelaki bersenjatakan pistol dan memakai topi keledar bertindak mengugut penjaga kedai berkenaan yang berusia 22 tahun sebelum mengarahkannya menyerahkan wang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, salah seorang daripada suspek bersenjatakan sepucuk pistol jenis automatik meletakkan senjatanya di atas kaunter menyebabkan mangsa ketakutan.

Ismail berkata, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan wang namun apabila mangsa cuba melawan suspek bertindak menarik picu pistol dan mengugut mahu menembak mangsa.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menuruti apa kehendak penjenayah itu dan menyerahkan wang tunai termasuk mata wang asing bernilai kira-kira RM15,000 sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menunggang dua motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, selepas melarikan wang berkenaan, kumpulan penjenayah itu kemudian dikatakan pergi ke kedai kedua yang jaraknya kira-kira 100 meter dari lokasi pertama.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati dua suspek masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan pistol melalui ruang kaunter berkaca dan salah seorang suspek pula masuk ke dalam kaunter melalui pintu yang tidak berkunci.

“Suspek kemudian mengambil wang tunai bernilai RM30,000 dan RM5,000 wang wang asing, telefon bimbit di kedai kedua yang disamun mereka.

“Namun sebelum mereka mahu melarikan diri dari kedai berkenaan suspek terlihat kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai mangsa,” katanya.

Ismail berkata, penjenayah berkenaan mengarahkan seorang penjaga kedai itu menutup CCTV berkenaan namun dia yang tidak menuruti arahan itu menerima padah apabila dipukul oleh salah orang suspek menggunakan pistol.

Bimbang perbuatan mereka itu disedari orang ramai, kumpulan penjenayah itu melarikan diri.

Ismail berkata, pihaknya kini giat memburu ketiga-tiga suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...