Selasa, 11 Jun 2013

Peniaga kerugian RM8,000


Peniaga kerugian RM8,000
BANTING - Tindakan licik sekumpulan penjenayah memasang lampu dan televisyen ketika ketiadaan seorang peniaga yang menghadiri majlis selama dua hari nyata mengaburi jiran apabila rumah mereka dipecah masuk dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Peniaga, Soo Kian Huat, 51, berkata, dia terkejut apabila melihat pintu rumah diumpil manakala tingkap besi di bahagian hadapan turut dipotong sebelum menggeledah keseluruhan rumah terbabit.

Menurutnya, kereta Toyota Lucida yang ditinggalkan di garaj rumahnya nyaris dilarikan apabila suspek mengambil kunci di rumah sebelum cuba menyelerakkan barang dalam kereta.

“Bagaimanapun, suspek mungkin panik apabila mendengar penggera keselamatan kereta berbunyi meskipun sudah berjaya menggeledah rumah dan melarikan kunci kenderaan.

“Saya hanya mengalami jumlah kerugian RM8,000 termasuk wang tunai RM300 dan beberapa jenis tilam kesihatan turut dibawa lari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Kian Huat yang menjalankan perniagaan bahan membuat kuih berkata, dia percaya suspek mungkin sudah melihat rumahnya kosong dan menggunakan taktik menghidupkan semua lampu bagi mengelirukan jiran kerana perkara sama biasa dilakukan jika pulang ke rumah awal pagi selepas mengemas barang di kedai.

“Kejadian pertama kali ini memberi kesan kepada penduduk apabila risau kejadian yang sama bakal berulang lagi.

“Polis diharapkan dapat menjaga keselamatan lebih-lebih lagi apabila terdapat sekumpulan orang awam melepak di tepi padang hingga awal pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...