MARANG – Gigit jari penyamun sampai patah gigi! Itulah tindakan nekad seorang ibu dua anak apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali menceroboh rumahnya sebelum gelang tangannya bernilai RM2,500 disamun di Kampung Binjai Bongkok di sini, kelmarin.
Tindakan mangsa, Nurul Amy Juliana Daud, 25, itu bagaimanapun gagal untuk menghalang lelaki terbabit yang memakai topeng dan sarung tangan daripada melarikan gelang emas miliknya itu dalam kejadian jam 4 pagi itu.
Mangsa berkata, sebelum kejadian berlaku, kira-kira jam 12 tengah malam, dia masuk tidur bersama dua anaknya ke bilik tidur ibunya kerana suaminya yang bekerja sendiri tiada di rumah berikutan bekerja di luar daerah.
“Saya terus menjerit memanggil ibu dan ketika itu lelaki terbabit menunjukkan isyarat supaya saya mendiamkan diri tetapi saya bertindak nekad menarik tangannya dan menggigit jarinya sekuat hati,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Amy Juliana berkata, dalam keadaan cemas itu, ibunya yang berusia 53 tahun juga tersedar daripada tidur setelah terdengar bunyi bising dalam bilik tidur berkenaan, lalu membuat pemeriksaan.
“Lelaki terbabit terkejut melihat ibu dan segera merentap tangannya hingga menyebabkan sebatang gigi saya di bahagian atas tercabut kerana ketika itu saya masih lagi tidak melepaskan gigitan pada sebatang jarinya,”
katanya.
Menurutnya, penyamun yang panik itu segera melarikan diri melalui tingkap dapur.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung. Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.