400 ANGGOTA PGA SARAWAK BANTU JAGA KESELAMATAN DI ESSCOM
Kuching,
18 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak hari ini menghantar 200 lagi
anggota bagi membantu usaha menjaga keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas
Pantai Timur Sabah (ESSCOM), menjadikan jumlahnya kini 400 anggota.
Komander PGA Briged
Sarawak Datuk Isa Munir berkata semua anggota itu akan bertugas untuk tempoh
dua bulan sebelum mereka
diganti dengan anggota lain.
Beliau berkata dua hari lepas
200 anggota PGA daripada Batalion 11 PGA pulang daripada tugasan di Sabah, dan
mereka sudah diganti dengan anggota daripada Batalion 12.
"Hari ini 200 lagi
anggota dari Batalion 10 PGA berlepas ke Sabah untuk membantu, sementara itu
penugasan kita di sini (Sarawak) tidak terjejas kerana ada sembilan kompeni di
sini," katanya dalam persidangan media di sini hari ini.
Katanya anggota PGA Sarawak
mula ditugaskan membantu menjaga keselamatan di Sabah sejak awal tahun lepas.
Sementara itu, Isa berkata
ekoran kebimbangan ramai tentang kewujudan senjata api tiruan dan senjata api
buatan sendiri dalam negara yang banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini,
pihaknya meningkatkan lagi risikan dan intipan di sempadan Sarawak.
Beliau berkata hasilnya petang semalam anggota PGA menahan
seorang lelaki Indonesia dan merampas dua pucuk senapang angin yang cuba dibawa
masuk ke dalam negara menerusi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)
di Tebedu, kira-kira 80 km dari sini.
Katanya turut dirampas
daripada lelaki berumur 37 tahun itu adalah sebuah kereta Proton yang
dinaikinya dan dua pallet peluru, tiga telefon bimbit, 24 keping kad prabayar
telefon, wang tunai 11,722,000 rupiah dan RM204.
Isa berkata senapang angin itu
boleh didapati dengan mudah di negara jiran kerana dijual secara terbuka,
tetapi tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara tanpa lesen.- BERNAMA