Rabu, 2 Mac 2016

Penganjur, peserta hadir Kursus Marxisme Kilat akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas tidak akan sekali-kali membenarkan anjuran program Kursus Marxisme Kilat yang dijadualkan diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada 20 Mac depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan mengambil tindakan bukan sahaja terhadap penganjur malah juga peserta yang menghadiri program tersebut.
Katanya, program itu dilabelkan sebagai satu usaha untuk menghidupkan fahaman komunis di negara ini dan penganjurannya adalah salah di sisi undang-undang.

“Bukan sahaja penganjur, peserta yang hadir kursus menyalahi undang-undang ini, akan turut diambil tindakan oleh @PDRMsia,” katanya menerusi akaun Twitternya hari ini.
Akhbar Kosmo! kelmarin melaporkan PDRM akan memanggil penganjur Kursus Marxisme Kilat untuk memberi keterangan berhubung penganjuran program tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mac depan.
Difahamkan, kursus itu akan diadakan di Dewan Gerak Budaya di Petaling Jaya dan pihak penganjur dikatakan turut menyasarkan golongan pelajar bagi menyertai kursus berkenaan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM10 manakala RM20 bagi orang awam. - K! ONLINE


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...