Memaparkan catatan dengan label P/Pinang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label P/Pinang. Papar semua catatan

Isnin, 10 Disember 2012

Dakwaan Rogol Hanya Tohmahan - Timb Ketua Polis P.Pinang

Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang pada Ahad menyanggah laporan seorang wanita Indonesia yang mendakwa dirogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pemeriksaan perubatan dan siasatan awal mendapati wanita berusia 26 tahun itu bukan sahaja tidak dirogol dan dipukul, bahkan tiada anggota polis yang digambarkannya bertugas pada waktu kejadian.
"Saya menafikan kejadian itu dan ini adalah satu tohmahan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama kepada anggota saya di Pulau Pinang," katanya kepada Bernama, di sini.

Ahad, 13 Mac 2011

Remaja perempuan jual 350 DVD lucah

GEORGETOWN- Seorang remaja perempuan di tuduh di Mahkamah Sesyen Georgetown kerana didapati menjual 350 keping cakera video digital (DVD) filem lucah pelbagai tajuk di sebuah premis di kompleks membeli-belah, di sini. 

Aw Yong Swee Kee, 19 yang berasal dari Relau, Bayan Lepas dituduh melakukan kesalahan itu di premis DTS Movie Entertaiment, Prangin Mall pada jam 2 petang 7 Mac lalu. 

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. 

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan Majistret, Noor Aini Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. 

Noor Aini menetapkan kes itu akan disebut semula pada 30 Mac ini bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. Pertuduhan dibaca Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Adham.

Jumaat, 11 Mac 2011

Bekas pengetua didakwa pecah amanah

GEORGETOWN - Mahkamah Sesyen Georgetown menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula bagi meneruskan prosiding bicara berhubung kes pecah amanah wang berjumlah RM15,550 membabitkan seorang Pegawai Naziran Kementerian Pelajaran apabila pengakuan bersalahnya ditolak. 

Hakim, Zanol Rashid Hussin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan tertuduh, Dr P Iskandar Abdullah, 55, melantik peguam. 

Iskandar yang pada mulanya mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan terhadapnya yang dilakukan pada 2007 ketika dia menjawat sebagai Pengetua sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar 2, Jalan Kampung Masjid, Bayan Lepas bagaimanapun membuat rayuan setelah pengakuannya ditolak. 

P. Pinang kutip RM24 juta saman

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang mengutip RM24 juta bayaran saman daripada pesalah trafik selepas polis mengumumkan insentif 50 peratus diskaun sejak Ogos lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya turut mencatat pertambahan luar biasa mereka yang ingin membayar saman iaitu dengan purata 500 hingga 600 orang sehari pada waktu bekerja.
"Sepanjang tempoh itu jumlah paling banyak kutipan bayaran saman ialah pada 1 Mac hingga semalam iaitu sebanyak RM6.13 juta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari terakhir orang ramai membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Khamis, 10 Mac 2011

Lelaki didakwa bunuh pekerja hotel

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja hotel, bulan lalu.

Muhamad Hafis Md Yusoff, 26, didakwa membunuh U Yuganthan, 21, di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap di sini, pada kira-kira 1 pagi, 25 Februari lalu.

Dia bersama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kecederaan hingga mendatang kematian Yuganthan.

Muhamad Hafis yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kanun yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Mohd Izham Ali menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman
sementara tertuduh tidak diwakili peguam..-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...