GEORGETOWN - Mahkamah Sesyen Georgetown menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula bagi meneruskan prosiding bicara berhubung kes pecah amanah wang berjumlah RM15,550 membabitkan seorang Pegawai Naziran Kementerian Pelajaran apabila pengakuan bersalahnya ditolak.
Hakim, Zanol Rashid Hussin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan tertuduh, Dr P Iskandar Abdullah, 55, melantik peguam.
Iskandar yang pada mulanya mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan terhadapnya yang dilakukan pada 2007 ketika dia menjawat sebagai Pengetua sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar 2, Jalan Kampung Masjid, Bayan Lepas bagaimanapun membuat rayuan setelah pengakuannya ditolak.
Iskandar membuat rayuannya selepas mahkamah menangguhkan perbicaraan selama beberapa jam bagi menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Dalam rayuannya, Iskandar menyatakan dia tidak mengambil kesemua wang yang didakwa kerana ketika kejadian, bangunan sekolah tempatnya bekerja belum memperoleh sijil menduduki (OC) dan itu membuatkan semua wang yang diberikan Kementerian Pelajaran akan dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya bagi tujuan hal ehwal kewangan sekolah.
“Saya sedar ia satu kesalahan dari segi teknikal namun saya tiada pilihan berikutan saya Pengetua pertama di sekolah itu yang ketika itu bangunannya belum memperoleh sijil menduduki dan semua peruntukkan kewangan yang diberikan kementerian akan dimasukkan ke dalam akaun saya.
“Wang itu juga akan dikeluarkan secara serta-merta sebaik ia dimasukkan bagi pembayaran biasiswa pelajar, kos pembaikan sekolah serta urusan lain dan itu adalah amalan biasa untuk pengetua pertama iaitu sebagai ketua jabatan di sekolah itu,” katanya.
Bagaimanapun, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib menjelaskan bahawa sebarang cek harus melalui akuan sekolah dan bukannya akaun persendirian.
Mengikut pertuduhan, Iskandar melakukan pecah amanah terhadap lima keping cek Maybank International Airport bernilai RM7,750, RM1,800, RM3,200, RM1,800 dan RM1,000 yang merupakan peruntukan bagi hal ehwal kewangan sekolah itu.
Dia didakwa mendepositkan kesemua cek itu ke dalam akaun simpanan miliknya di antara 26 Februari hingga 19 Disember 2007 di sekolah itu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Zanol Rashid kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.