Jumaat, 11 Mac 2011

Pengikut mazhab Syiah bebas beramal dan tidak boleh ditahan di bawah ISA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan kepada Dewan Rakyat dalam sesi soalan tambahan bahawa pengikut Syiah Imamiyah dilarang menyebarkan mazhab tersebut namun bebas beramal dengannya selain tidak boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang mempersoalkan mengapa pengikut mazhab Syiah perlu ditahan di bawah ISA dan tidak dibicarakan secara adil di Mahkamah.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mereka dibenarkan beramal dengan mazhab Syiah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberi kebebasan hak beragama kepada rakyat negara ini.


"Kita tidak melarang pengikut ajaran ini untuk terus beramal, tetapi terdapat akta yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah di negeri-negeri yang tidak membenarkan ajaran ini disebarkan kepada penganut ahli Sunnah wal-Jamaah yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ismail mahu tahu sama ada Syiah adalah satu ajaran baru atau mazhab baru dan tindakan yang dikenakan terhadap pengikut Syiah.

Jamil Khir berkata, walaupun Syiah telah dikategorikan sebagai ajaran menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tidak semua ajaran fahaman itu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

"Oleh sebab itu mereka (pengikut Syiah) tidak boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa.

Selain itu Jamil Khir bertegas, usaha membanteras penularan mazhab Syiah masih berjalan dengan memantau ceramah, media massa dan bahan-bahan media yang cenderung dalam penyebaran mazhab tersebut.

Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi agama turut ditingkatkan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peruntukan negeri-negeri yang mewartakan kesalahan penyebaran ajaran Syiah.

Nasharudin kelmarin meminta Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membetulkan kesilapan beritanya yang melaporkan beliau ingin tahu mengapa pengikut Syiah tidak ditahan di bawah ISA.

Beliau selaku Timbalan Presiden Parti Islam Semalaysia (Pas) menafikan laporan Bernama kelmarin yang seolah-olah menggambarkannya mahu pengikut ajaran Syiah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Meskipun begitu, dalam Muzakarah Membanteras Ajaran Sesat di peringkat Zon Timur (Terengganu dan Kelantan) pada 4-7 Jun 2007, Syiah Imamiyah telah dianggap sebagai ajaran sesat tegar. Pihak JAKIM pula berazam akan membanteras mazhab Syiah hingga ke akar umbi dan sentiasa memberi perhatian secara berterusan terutama dari proses tindakan undang-undang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...