Jumaat, 11 Mac 2011

Lima nelayan ditahan miliki heroin

YAN - Polis menahan lima nelayan yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di daerah Yan dalam satu serbuan di jeti nelayan di Kampung Burma, Kuala Sala dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Ismail Abu berkata, serbuan hasil maklumat orang
awam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 342.2 gram bernilai RM9,000.

Beliau berkata ketika serbuan, kelima-lima lelaki berusia 18 hingga 54 tahun itu berada dalam sebuah bot nelayan, dipercayai sedang berehat.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam bot nelayan itu, polis menemui tiga paket besar plastik lutsinar, empat paket kecil plastik lutsinar dan 25 batang keratan straw yang dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 331.3 gram.

"Selain itu, ketika pemeriksaan pada badan suspek pula mendapati seorang daripada suspek memiliki 11.1 gram heroin yang disorok dalam beg pinggang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai menjadikan bot nelayan sebagai tempat untuk membungkus heroin sebelum mengedarkan kepada pelanggan di sekitar Kuala Sala dan kawasan itu.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...