BANDAR MARANG – Hasrat ingin meringankan beban kewangan suami membawa padah akibat salah pertimbangan setelah menjadikan hasil jualan air ketum sebagai sumber rezeki.
Ahad lalu, polis menahan seorang wanita berusia 54 tahun bersama 50 bungkusan kecil air perahan daun ketum di sebuah rumah di sini.
Dengan penangkapan itu polis berjaya melumpuhkan kegiatan menjual air ketum di kampung Batangan.
Serbuan pada jam 11 pagi itu melibatkan sepasukan anggota dan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, dibuat hasil maklumat orang awam setelah rumah itu disyaki dijadikan tempat menjual air ketum.
Difahamkan rumah terbabit menjadi sarang penjualan air ketum kepada pelanggan dipercayai penagih dadah sekitar kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
Air ketum dijual pada harga serendah RM1 bagi setiap bungkusan kecil.
Suspek dipercayai tinggal dengan suami dan empat anaknya di rumah itu, namun ketika serbuan dijalankan hanya suspek dan dua anak lelakinya berada di rumah termasuk anak sulungnya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) berusia 40-an dan 16 tahun.
Juga difahamkan dua lagi anak lelaki suspek tiada di rumah kerana keluar menoreh getah.
Manakala suami suspek sudah dua hari tidak pulang ke rumah dan empat lagi anak suspek tidak tinggal bersamanya di rumah itu.
:Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian berkata, ketika serbuan dilakukan, hanya suspek dan anak lelakinya yang berusia 16 tahun berada di dalam rumah.
Hasil pemeriksaan di rumah itu katanya, polis berjaya merampas sebanyak 50 bungkusan kecil dipercayai berisi air daun ketum dan sebiji pil kemerah-merahan dipercayai pil kuda termasuk wang berjumlah RM30.
Menurut Ahmad Mazlan, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Wanita itu juga didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki pil kuda,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.