SEREMBAN – Seorang nenek cemas apabila lehernya diacukan sebilah parang panjang dalam kejadian ragut, oleh seorang lelaki bermotosikal di Rumah Rakyat Panchor, di sini, semalam.
Mangsa, Rosnah Emby, 66, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi selepas dia membeli ikan dan sayur daripada peniaga di taman terbabit.
Menurutnya, selepas membeli barangan keperluan dapur, dia dan dua lagi rakannya duduk di sebuah pondok sambil bersembang.
“Sewaktu kami berbual-bual, datang seorang lelaki bermotosikal menghampiri kami dan bertanyakan alamat sebuah jalan.
“Belum sempat saya menjawab pertanyaannya, lelaki terbabit telah mengeluarkan sebilah parang panjang, lalu mengacukannya ke leher saya dan terus merentap rantai serta gelang tangan,” katanya.
Rosnah berkata, dia kerugian hampir RM8,000 dan salah seorang rakan turut cedera kerana terjatuh sewaktu berlari menyelamatkan diri.
“Keadaan kelam-kabut kerana masing-masing panik sewaktu melihat peragut mengeluarkan parang.
“Malah saya sendiri tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu takut,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Paroi.