Jumaat, 11 Mac 2011

Polis berkas dua remaja

KUALA ROMPIN - Mus-lihat seorang remaja lelaki yang menyorokkan dadah dipercayai jenis heroin di dalam kasut dipakainya ketika membonceng sebuah motosikal akhirnya terbongkar selepas dia dicekup polis, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supe-rintendan Johari Jahaya berkata, suspek berusia 20 tahun itu dipercayai memiliki heroin seberat 8.4 gram yang disorok di dalam kasutnya ketika dalam perjalanan dari Tanjung Gemok ke Rompin. 

Menurutnya, suspek dan rakannya yang menunggang motosikal dipercayai cuba untuk melarikan diri ke sebuah pasar raya bagi mengelakkan mereka ditahan sepasukan polis trafik yang sedang membuat pemeriksaan jalan raya. 
“Polis curiga selepas mendapati sebuah motosikal ditunggangi rakan suspek tergesa-gesa menuju ke sebuah pasar raya di Kuala Rompin,” katanya kepada Sinar Harian. 

Johari berkata, menyedari polis mengekori mereka dari arah belakang, suspek dan rakannya yang berusia 16 tahun itu cuba melarikan diri namun tindakan itu sia-sia selepas polis memberkas mereka. 

“Berlaku pergelutan antara polis dan suspek pada masa kejadian, namun tindakan pantas sepasukan polis akhirnya berjaya menahan kedua-dua suspek itu yang cuba melarikan diri ke sebuah pasar raya,” katanya. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis ke atas fizikal suspek menemui bungkusan plastik hitam mengandungi dua paket dadah dipercayai heroin yang diletakkan di dalam kasut getah sebelah kiri berwarna hitam. 

Menurutnya, ujian saringan urin juga mendapati pembonceng yang berasal dari Merchong, Pekan itu positif dadah, manakala rakannya dipercayai diupah untuk membawa suspek ke lokasi terbabit. 

“Polis menahan kedua-dua suspek untuk membantu siasatan dan mereka direman sehingga 14 Mac ini bagi siasatan lanjut,” katanya. 

Menurutnya, suspek utama kini disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15/1 (A) akta sama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...