Jumaat, 11 Mac 2011

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam cedera dihentak batu

JOHOR BAHARU - Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di Kangkar Pulai, di sini, dua hari lalu.

Ibrahim, yang juga Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Cawangan Johor berkata, ketika kejadian kira-kira 12.30 malam, beliau bersendirian dan ingin ke rumah anaknya di Taman Anggerik, di sini.

"Ada dua lelaki mengejar saya ketika saya nak masuk ke dalam kereta. Menyedari saya cuba menghidupkan kenderaan, tiba-tiba datang pula sebuah kereta Proton Waja mengepung saya.
"Salah seorang daripada dua lelaki itu memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu dan cermin hadapan menggunakan batu bata yang diletakkan di dalam sebungkus plastik," katanya ketika ditemui, di Hospital Pakar Puteri, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, beliau sempat beralih ke kerusi penumpang hadapan sebelum kedua-dua lelaki itu terus menghayunkan plastik berisi batu itu yang mengenai dahi, lengan dan beberapa anggota lain badannya.

Beliau berkata, serangan itu berlaku hampir 10 minit sebelum kedua-dua lelaki bersama seorang lagi rakan mereka yang berada dalam kereta Proton Waja melarikan diri apabila kejadian itu disedari beberapa penduduk.

Ibrahim membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Kangkar Pulai, sejam kemudian sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

"Saya percaya perbuatan ini bermotifkan balas dendam. Mungkin tugas saya sebagai pegawai dan Presiden Kesatuan Kastam mengundang kemarahan pihak tertentu," katanya yang menerima tujuh jahitan akibat luka di dahi.

Ibrahim berkata, kejadian menimpa dirinya itu merupakan kali ketiga selepas sebuah kereta Toyota miliknya dibakar pada Jun lalu dan rumahnya dilontar cat merah, dua bulan kemudian.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...