KOTA BHARU - Seorang datuk berusia 89 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap tuduhan merogol cucunya sendiri.
Tertuduh, Che Wel Ibrahim juga gagal melantik peguam bela ketika kesnya disebut semalam lalu, hakim menetapkan tarikh sebutan yang baru pada 6 April ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Irwan Suainbon menetapkan tertuduh dari Kampung Kolam Tembusu, Pasir Puteh melantik peguam bela untuk tarikh sebutan yang baru nanti.
Pada prosiding jam 9 pagi itu, tertuduh memberitahu mahkamah dia mahu dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.
“Saya tidak bersalah dan minta pihak mahkamah untuk dibicarakan,” katanya.
Pada Ogos tahun lalu, Che Wel dituduh melakukan perbuatan jijik berkenaan terhadap cucunya yang berusia 10 tahun enam bulan ketika itu. Dalam kejadian jam 9 malam tersebut, Che Wel didakwa merogol mangsa di kandang lembu berhampiran rumahnya, 25 Ogos 2010.
Dalam pada itu, keadaan di luar mahkamah bertukar menjadi hiba apabila ahli keluarga yang datang dari Johor menangis dan tertuduh turut teresak-esak ketika bertemu dengan ahli keluarganya.