SUNGAI LAYANG - Seorang warga emas kerugian RM3,200 dan seutas rantai tangan akibat diperdaya oleh seorang wanita yang baru dikenali datang ke rumahnya di Kampung Perigi Gaung, di sini, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.
Wanita itu dipercayai berketurunan Melayu, berkulit cerah, berbadan besar, memakai pakaian serba hitam daripada tudung, baju dan seluar.
:Mangsa, Limah Sulaiman, 75, berkata, dia didatangi seorang wanita yang bertujuan mengambil butiran peribadi dirinya untuk menerima sumbangan makanan warga emas.
“Dia meminta kad pengenalan dan menyuruh menukar pakaian dengan memakai baju kurung kerana mahu mengambil gambar. Wan terus menukar pakaian dan mengeluarkan kad pengenalan daripada beg tangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika itu juga Limah berkata, wanita itu meminta segelas air untuk minum, lalu dia ke dapur dan meninggalkan beg tangannya yang berisi wang tunai, barang kemas dan buku bank.
Menurutnya, selepas minum air, wanita terbabit meminta izin untuk pulang sambil berpesan kepadanya supaya menunggu di depan rumah pada jam 11 pagi, semalam, kerana ada sebuah van akan datang menjemputnya ke majlis penyerahan sumbangan makanan itu.
“Bagaimanapun ketika masuk waktu Maghrib, wan mula teringat beg tangan Wan. Wan mula mencari dan menemui semula beg tangan, namun wang tunai dan seutas rantai hilang. Cuma yang tinggal buku bank dan gelang emas,” katanya.
Disyaki wanita terbabit yang mengambil wang tunai dan rantai itu.
Limah membuat laporan polis kira-kira jam 11 malam kelmarin, di balai polis berhampiran.