
TANAH MERAH - Seorang pemuda berusia 23 tahun, yang juga anak yatim piatu mati selepas ditikam pada bahagian pinggang di rumahnya di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, dekat sini, petang kelmarin.
Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa seorang penoreh getah, Thana Aizuddin Mohd Sukri ditemui tertiarap dan berlumuran darah di atas tanah di tepi rumahnya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui tidak berbaju dan hanya berseluar jeans oleh adiknya, Kamalrul Haffiz, 17, yang baharu pulang ke rumah.
“Ketika sampai di rumah, adik mangsa mendapati ada kesan tompokan darah di atas lantai garaj rumah dan mengekori kesan darah itu sebelum dia menemui abangnya tertiarap di atas tanah di tepi rumah.
“Ketika itu, mangsa dikatakan sedang nazak dan tidak boleh bercakap sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, semalam.
Abdul Aziz memaklumkan, jarak mangsa ditemui dengan garaj kira-kira tujuh meter, manakala rumah mangsa terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama Kusial ke Gual Ipoh.