Isnin, 28 Mac 2011

ADUN bimbang kawasan tidak selamat

SEREMBAN - Ketiadaan balai polis di sesetengah kawasan sekitar Senawang, di sini membimbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P. Gunasekaran. 

Menurut Gunasekaran, banyak berlaku masalah polis lewat bertindak sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan tertentu disebabkan kedudukan balai polis yang jauh. 

Beliau mengambil contoh berlaku ke atas pemilik kedai ubat tradisional Cina di Seremban Jaya Fasa 9, dekat sini yang terpaksa menunggu lama mendapatkan bantuan polis selepas dirompak. 

“Mangsa dikatakan sudah cuba menghubungi talian hotline polis serta balai polis berdekatan, namun gagal. 
“Saya terkejut apabila mangsa memberitahu saya, hanya dua jam selepas kejadian baru polis datang ke kedainya untuk mendapatkan laporan,” katanya ketika ditemui selepas melawat kedai mangsa, semalam. 

Gunasekaran berkata, kelewatan sebegini tidak seharusnya berlaku kerana masyarakat terlalu mengharapkan bantuan segera polis apabila ditimpa bahaya. 

“Sepatutnya polis boleh sampai ke tempat kejadian dalam tempoh beberapa minit saja selepas dihubungi. Saya juga terkejut apabila mangsa beritahu talian hotline polis gagal dihubungi,” katanya. 

Selain itu, katanya, kereta peronda melalui kawasan Senawang juga belum mencukupi memandangkan ia disifatkan sebagai ‘kawasan panas’. 

“Sebab itu, saya berharap dipertimbangkan balai polis ditempatkan di mana-mana kawasan yang perlu supaya tindakan boleh diambil polis dengan lebih cepat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...