Isnin, 28 Mac 2011

Banteras kes jenayah

TRIANG – Masyarakat dan badan bukan kerajaan disaran supaya bekerjasama dengan anggota polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, sebanyak 34 kes jenayah direkodkan berbanding 44 kes pada tahun sebelumnya dalam tempoh sama dengan 50 peratus kes berjaya diselesaikan. 

Beliau berkata, penurunan sebanyak 10 kes ini membuktikan bahawa kerjasama pelbagai pihak dalam usaha membanteras jenayah mendatangkan kesan positif. 

“Sebanyak 14 kes direkodkan dalam bulan ini sehingga 24 Mac lalu, namun tujuh kes berjaya diselesaikan. 
“Kebanyakan kes jenayah yang dilaporkan adalah kecurian motosikal berpunca daripada kelalaian pengguna sendiri kerana gagal menggunakan sistem keselamatan pada motosikal masing-masing,” katanya selepas Program Sambutan Memperingati Hari Polis Ke-204, di sini. 

Hadir sama, Pegawai Daerah, Datuk Ahmad Daud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd Fadil Osman dan ADUN Triang, Leong Ngah Ngah. 

Sementara itu, statistik trafik pula mencatatkan sebanyak 148 kes kemalangan direkodkan sehingga 24 Mac lalu. 

Mohd Zahid berkata, rekod menunjukkan empat kes melibatkan kemalangan maut, empat kes cedera parah dan 83 kes disebabkan kecuaian pengguna. 

“Kes kemalangan mencatatkan angka yang tinggi dalam tempoh tiga bulan ini juga berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri. 

“Pengguna harus bijak mengatur masa perjalanan dan mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan sifat sabar ketika memandu,” katanya. 

Selain itu, jumlah saman turut menunjukkan peningkatan sebanyak 244 saman menjadikan jumlah 1,529 saman dikeluarkan berbanding tahun lalu, manakala sebanyak RM755,950 kompaun berjaya dikutip sehingga 24 Mac lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...