AMPANG - Seorang pemandu teksi menerima 11 jahitan di kepala dan 14 jahitan di pipi selepas dibelasah serta dicederakan dengan sebilah pisau tanpa belas kasihan oleh dua penumpangnya.
:Kejadian berlaku awal pagi 23 Mac lalu, semasa dia menghantar kedua-dua lelaki yang menaiki teksinya di Jalan 10 Taman Putra.
Mangsa, Tho Cheong Lin, 54, berkata, penumpang terbabit minta dia menghantar mereka ke Pudu Ulu, Cheras.
Menurutnya, seorang daripada lelaki itu duduk di bahagian belakang manakala seorang lagi duduk di sebelahnya.
Katanya, sebaik tiba di depan Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya, salah seorang penumpang mengarahkannya masuk ke kawasan perumahan di Taman Maju Jaya dengan alasan rumahnya di situ.
“Semasa saya berhenti, salah seorang daripada lelaki itu bertanya harga tambang yang harus dibayar.
“Saya beritahu kepada dia, bayaran tambang adalah RM9.60 dan kemudian lelaki yang duduk di bahagian belakang turun daripada teksi, dia menyerahkan wang RM10 kepada saya dan apabila saya mahu pulangkan baki, tiba-tiba lelaki itu menumbuk kepala saya,” katanya kepada pada sidang media bersama Ahli Undangan Negeri (ADUN), Teratai, Jenice Lee, di sini, semalam.
Cheong Lin berkata, lelaki yang duduk di sebelahnya turut memukulnya dengan menggunakan topi keledar.
Katanya, dalam keadaan cemas, dia cuba mempertahankan diri dengan menumbuk lelaki itu dan berusaha menutup pintu sebelah kiri teksinya.
Menurutnya, apabila dia menoleh ke sebelah kanan, seorang lagi lelaki terbabit sempat menoreh pipinya dengan sebilah pisau.
“Lelaki itu gagal merampas kunci teksi dan telefon bimbit apabila saya memukul tangannya.
“Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri, kepala serta pipi saya pula berlumuran darah,” katanya.
“Saya segera ke hospital untuk menerima rawatan kemudian ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya kepada Sinar Harian.
Cheong Lin berkata, insiden itu pertama yang berlaku ke atas dirinya selepas 28 tahun menjadi pemandu teksi.
Katanya, dia kini lebih berhati-hati memilih penumpang kerana khuatir kejadian sama berulang.
Sementara itu, Jenice berkata, beliau menyarankan pemandu teksi supaya lebih berwaspada dan berhati-hati.
“Penumpang pula diingatkan turut berhati-hati kerana kejadian jenayah juga boleh berlaku ke atas mereka,” katanya lagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.