KULIM - Seorang warga emas berusia 63 tahun yang baru memeluk Islam pada 8 Mac lalu, ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil di biliknya di Taman Selasih kira-kira jam 11 malam, kelmarin.
Sinar Harian difahamkan, anak sulung warga emas itu yang berusia 38 tahun, dalam keadaan tergesa-gesa pergi ke Balai Polis Kulim jam 10.30 malam untuk memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia.
Ketua polis dari Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ketika membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa, beliau mendapati ada kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Curiga dengan kenyataan dibuat oleh anak sulung mangsa, polis kemudiannya menjalankan siasatan terhadapnya dan dia mengaku melakukan kekerasan terhadap mangsa sehingga mengakibatkan kematian sebelum menghubungi Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kulim Kedah, Superintendan Ghuzlan Saleh yang datang ke tempat kejadian berkata, kenyataan awal yang dibuat oleh suspek tidak benar. Setelah siasatan terperinci dijalankan, suspek akhirnya mengaku memukul mangsa sebelum ditemui mati.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala sebelah kanan dan badan, dipercayai dipukul dengan objek keras. Dari siasatan dijalankan, suspek mengaku memukul mangsa sebanyak tiga kali di kepala.
“Motif pembunuhan ini berpunca dari perselisihan faham antara mereka berdua. Mangsa merupakan seorang warga emas dan baru seminggu memeluk Islam.
“Mayatnya akan dibedah siasat di Hospital Kulim dan jenazahnya akan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) bagi tujuan pengebumian. Suspek yang merupakan anak sulung dari tiga adik beradik akan disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.