MASJID TANAH - Berikutan kes pembunu-han tiga remaja lelaki di Jalan Solok Binjai, Januari lalu, tiga keluarga mangsa meminta agar kes pembunuhan berkenaan disiasat semula bagi mengenal pasti beberapa lagi individu lain terlibat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Chong Say Keong, 17, dan Lan Ee Shen, 20, mati serta merta di tempat kejadian manakala Tai Chi Yong, 18, mati akibat pendarahan selepas ditikam ketika dalam perjalanan menuju ke hospital selepas dibawa bapanya yang tiba di tempat kejadian.
Kesemua ahli keluarga mangsa mengadakan satu perhimpunan bertempat di perkarangan tempat meletak kenderaan Taman Paya Mengkuang, dekat sini, kelmarin, bagi meminta pihak berkuasa membangkitkan semula kes pembunuhan tiga sahabat ini.
Bapa kepada Say Keong, 17, Chong Kim Siak, 53, berkata, penangkapan hanya terhadap seorang suspek berusia 16 tahun adalah tidak relevan kerana merasakan begitu mustahil untuk seorang individu mampu membunuh tiga individu lain dalam satu masa.
“Sekiranya benar cuma dia seorang yang melakukannya, siapa pula yang datang pada malam ketika mangsa berada di pusat snuker berdekatan yang bertindak seolah-olah ‘memancing’ mangsa untuk datang ke tempat kejadian sebelum dibunuh?
“Saya tidak berpuas hati apabila mendapat tahu kes ini seperti sudah selesai melalui media dan tidak percaya ia hanya dilakukan oleh seorang sahaja sehingga mendesak kami menghantar surat kepada Ketua Polis Negara,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Ee Shen, 20, Lan Soon Hing, 49, berkata, turut tidak berpuas hati akan hal yang sama dan merasakan ia tidak munasabah.
:Menurutnya, pada malam kejadian, anaknya memaklumkan ingin ke pusat snuker berhampiran bersama Say Keong, yang turut terbunuh di tempat kejadian dan saya difahamkan terdapat sebuah motosikal yang memberikan tanda lampu mengajaknya ke suatu tempat.
“Kejadian yang berlaku seoalah-olah ada yang mengganggu mereka di pusat snuker dan menunggu di tempat kejadian kerana enjin motosikal anak saya masih hidup dan apabila tiba di tempat kejadian, anak saya sudah meninggal dunia,” katanya.
Bapa saudara kepada Chi Yong, 18, Tai Kin Sang, 42, pula berkata, dia kecewa apabila dimaklumkan kes tersebut ditutup dan mahukan kes ini dibuka semula serta disiasat bagi mengenal pasti beberapa individu lain yang terlibat sama hingga menyebabkan tiga kematian.
“Jika benar hanya seorang yang membunuh, tidak mungkin tiada yang membantu.
“Tambahan pula, senjata tajam yang digunakan didapati berbeza-beza seolah-olah bukan satu senjata sahaja yang digunakan. Saya berharap kes ini dapat dibuka semula supaya individu sama yang terlibat dapat ditangkap dan dikenakan tindakan setimpal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika ditemui enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.