KUALA LUMPUR - Banduan melakukan kesalahan ringan, tetapi menjalani hukuman penjara bersama banduan melakukan kesalahan berat akan dipindahkan di kem tentera terpilih di seluruh negara mulai bulan depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu untuk mengelakkan kedua-dua kategori banduan terbabit berkongsi pengalaman dan pengetahuan terutama mengenai pelbagai taktik jenayah sepanjang menjalani hukuman.
“Kedua-dua kategori banduan ini tidak boleh dibiarkan bercampur dalam penjara, kerana banduan yang melakukan kesalahan berat boleh mempengaruhi banduan kesalahan ringan menjadi lebih ganas dan kembali melakukan jenayah apabila dibebaskan nanti. Ini yang kita mahu elakkan kerana boleh beri kesan buruk,” katanya.
Hishammuddin berkata, pemindahan itu adalah program perintis melibatkan kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebahagian inisiatif membendung jenayah di negara ini untuk mencapai matlamat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Menurutnya, program itu dijangka membantu menangani masalah kesesakan penghuni di beberapa penjara di seluruh negara.
Hishammuddin berkata, setakat ini enam kem tentera sudah dikenal pasti, termasuk Kem Mahkota di Kluang, Johor, Kem Tok Jalai, Alor Setar, Kedah dan Kem Desa Pahlawan Kelantan untuk program perintis berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau berkata, selepas dipindahkan ke kem itu banduan kesalahan ringan akan diberikan pendedahan melalui pelbagai program kemahiran dan aktiviti masyarakat untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri selepas dibebaskan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan melawat Kem Mahkota hujung bulan ini - Bernama