DERGA - Seorang kakitangan kerajaan hampir membunuh diri beberapa kali disebabkan tertipu dengan sindiket telefon yang mendakwa dia telah memenangi cabutan bertuah sebanyak RM156,000 di Hong Kong pada November 2008.
Gara-gara percaya dengan lakonan pegawai dari agensi berkenaan, wang cabutan bertuah yang dimenangi itu dikatakan dilaburkan dalam satu program lumba kuda dan sekali lagi memenangi hadiah tunai sebanyak RM3,299,300.
Kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, dia mengakui tidak percaya dengan skim cepat menang seperti itu tetapi lakonan yang meyakinkan ditunjukkan oleh pegawai agensi berkenaan membuatkannya percaya.
Menurutnya, kerana terpedaya, dia memasukkan sebanyak RM98,593 ke dalam bank untuk mendapatkan hadiah berkenaan.
“Kerana masalah ini juga, rumah tangga saya hampir retak kerana saya menyembunyikan perkara ini selama setahun daripada pengetahuan suami, akhirnya terbongkar apabila kami memerlukan sejumlah duit bagi pembedahan mata ibu mentua saya pada tahun lepas.
“Selama tempoh itu, hidup saya sangat tertekan tetapi berusaha untuk menyembunyikan daripada pengetahuan keluarga terutamanya suami kerana sebelum ini kami berdua sentiasa terbuka untuk berbincang termasuklah urusan pengurusan kewangan keluarga,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Bilik Gerakan Parti Gerakan Kedah, dekat sini.
Mengimbas kembali ceritanya, Tan berkata, dia telah diminta memasukkan wang secara berperingkat-peringkat bermula dengan wang pendahuluan sebanyak RM6,240 untuk memproses sebelum diminta memasukkan wang RM9,360 untuk mendapatkan nombor pin hadiah.
Menurutnya, dia terus terperdaya apabila agensi berkenaan memberitahu dia memenangi program lumba kuda hasil pelaburan hadiahnya dan hadiahnya berganda kepada lebih RM3 juta.
“Bagi mendapatkan hadiah lumba kuda itu saya perlu membayar wang proses sebanyak RM32,993 namun sekali lagi agensi berkenaan menghubungi saya dan memaklumkan terdapat masalah dengan akaun antarabangsa saya serta meminta memasukkan sebanyak RM50,000 untuk mengaktifkan kembali akaun berkenaan,” katanya.
Tan mendapatkan kerjasama daripada Parti Gerakan Kedah dan kerjasama yang diberikan membuatkan dia memperoleh kembali wangnya sebanyak RM50,000.
Menurutnya, kejayaan mendapatkan kembali sebahagian wangnya juga adalah hasil usaha polis terutamanya Polis Bukit Aman, dan dengan wang itu dapat mengurangkan beban pinjaman bank sebelum ini yang dibuat untuk mendapatkan wang hadiah terbabit.
“Hidup saya sangat tertekan dan hampir membunuh diri beberapa kali, dan walaupun di dalam waktu saya berhati-hati saya masih lagi boleh tertipu dan agensi berkenaan mengakui mendapatkan maklumat telefon rumah saya melalui peraduan teka dan menang daripada pasar raya yang dikunjungi sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai terus menasihati masyarakat supaya tidak terpedaya dengan skim atau panggilan yang mendakwa memenangi hadiah cabutan bertuah.