Jumaat, 25 Mac 2011

D2 Punya Tugas Penting Kesan Dan Analisis Cap Jari Penjenayah

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Tugas di Bahagian Pendaftaran Rekod Jenayah (D2) Ibu pejabat Polis Bukit Aman mungkin dipandang tidak sehebat atau kurang dikenali berbanding tugas pegawai di jabatan lain, misalnya Forensik atau Narkotik, namun sebenarnya di sinilah segalanya bermula.

Sama ada seseorang yang ditahan polis itu mempunyai rekod jenayah lampau, ia boleh dibuktikan melalui rakaman cap jari yang disimpan di jabatan itu sejak beberapa tahun lalu.

Penolong Pengarah D2 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Yusuh Mat Tais berkata dari segi analisis cap jari, jabatan itu terletak di bawah peruntukan undang-undang dan anggotanya terdiri daripada kalangan pakar.
Beliau yang memimpin jabatan itu sejak 2007 berkata jabatan yang menggunakan teknologi Biometric Fingerprint Idientification System (Biofis) sejak 2009 itu berfungsi merakam semua cap jari yang dihantar bagi tujuan analisis jenayah.

Menurutnya buat masa ini, sistem berupa komputer elektronik atau perisian itu menyimpan 1.5 juta cap jari penjenayah serta kira-kira 50,000 cap jari untuk kes-kes yang tidak diselesaikan.

"Ini bermakna dalam sistem ini, dua kategori cap jari disimpan, iaitu satu cap jari penjenayah yang ditangkap di tempat kejadian, satu lagi cap jari yang berjaya ditimbulkan pegawai penyiasat (IO) di tempat kejadian, tanpa mengetahui siapa individu tersebut," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Yusuh berkata bagi kes cap jari yang ditimbulkan IO di tempat kejadian, polis di jabatan ini hanya perlu menunggu tangkapan yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes itu untuk disemak atau dipadankan dengan cap jari di tempat kejadian.

"Bagi cap jari penjenayah yang baru ditahan pula, kami juga akan lakukan semakan sama ada dia (pesalah) mempunyai rekod kesalahan lampau atau tidak berdasarkan rekod-rekod yang disimpan dalam sistem ini," katanya.

Bapa kepada sembilan orang anak itu berkata berkata cap jari yang dirakam, sama ada di tempat kejadian atau ke atas tangkapan itu sendiri, akan dihantar ke Bukit Aman oleh Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Malaysia yang sudah dilengkapi kelengkapan penghantaran cap jari.

"Bila kita pakai sistem elektronik yang lebih cepat ini, penghantaran melalui sistem hanya ambil masa antara dua hingga tiga saat sahaja dari mana-mana IPD seluruh Malaysia," katanya.

Katanya keputusan analisis cap jari ke atas tangkapan sebelum ini memerlukan masa yang panjang sehingga mengakibatkan individu yang ditahan itu terlepas dari kesalahan yang mungkin dilakukannya.

"Contohnya sebelum ini jika rakaman cap jari itu dihantar hari ini, polis perlukan dua hingga tiga minggu nak proses. Sementara nak tunggu keputusan cap jari itu keluar, individu itu pun sudah habis tempoh reman.

"Kalau gunakan sistem sekarang, tangkap hari ini, rakam pagi, petang dah tau dah dia punya kesalahan dan boleh "inform" pada IPD berkenaan apa kesalahan dia," katanya.

Yusuh berkata rakaman cap jari juga diterima dari Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Imigresen dari Singapura, yang memerlukan khidmat jabatan ini untuk menganalisis individu yang ditahan mereka.

Menurutnya sebelum ini simpanan rekod-rekod ini terdapat di tiga tempat iaitu Bukit Aman (bagi Semenanjung), Sabah dan Sarawak, namun mulai tahun lepas kesemua rekod cap jari hanya disimpan di Bukit Aman.

Yusuh berkata jabatan itu juga berperanan untuk membuat semakan tapisan keselamatan (rakaman cap jari) bagi menentukan seseorang individu yang ingin membuka perniagaan seperti pajak gadai, bebas daripada rekod jenayah.

"Bagi pemegang lesen pajak gadai, barang lusuh, syarat dalam permohonan lesen tu, dia mesti ada tapisan keselamatan. So kita bantu Kementerian Perumahan untuk buat semakan dia ada rekod atau tidak.

"Begitu juga pengambilan tentera, pegawai keselamatan polis bantuan...mereka juga perlu mendapatkan surat kelakuan baik dari kmi melalui rakaman cap jari ini. Mereka harus datang ke Bukit Aman untuk rakaman cap jari ini," katanya.

Merujuk kepasa soal tenaga kerja jabatan tersebut, Yusuh berkata jabatan itu mempunyai 109 anggota yang terdiri daripada dua kategori iaitu awam, 22 kerani dari bahagian pentadbiran, dan 87 anggota polis daripada kalangan pemeriksa cap jari yang berpengalaman.

Yusuh berkata berbekalkan pengalaman pegawai pakar yang bertugas di jabatan itu, ada antara mereka juga dijemput untuk mengajar setiap jabatan yang melibatkan cap jari seperti Imgresen, Bank dan Tabung Haji.

Merujuk kepada pengalamannya termasuk cabaran yang dihadapi ketika mula-mula menerajui jabatan ini, beliau berkata banyak perkara perlu dikorbankan termasuk menghabiskan banyak masa untuk belajar mengenai cap jari.

"Memang susah sebab perlu belajar banyak jenis cap jari... memang nampak semua sama saja, tapi sebenarnya cap jari ni ada banyak perbezaan dari segi bentuk, jalur, dan semuanya kena belajar dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja mengenal pasti atau menganalis cap jari ini memerlukan ketelitian, penghususan dan pengetahuan serta perlu mengambil masa yang lama untuk menjadi mahir.

Yusuf berkata kerjaya beliau sebagai anggota polis bermula pada tahun 1986 apabila beliau menyertai Kadet ASP dengan menjalankan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Maktab di Kuala Kubu Baru sebelum menjalankan latihan amali atau praktikal di Balai Polis Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

"Pada 2006, saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malasyia (UKM) dalam "Master Defence Strategic". Lepas tamat master pada Februari 2007, saya bertukar ke Pulau Pinang sebagai ketua jabatan kententeraman awam Pulau Pinang dan pada hujung 2007, saya bertukar ke Bukit Aman," katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...