KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasar untuk mencapai kekuatan anggotanya menjangkau sehingga 150,000 orang menjelang tahun 2015 bagi mengimbangi kehendak masyarakat yang semakin bertambah mendesak serta pembangunan negara yang pesat.
Pengarah Pengurusan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata pihaknya merancang untuk menambah kekuatan anggota polis yang sedia ada, kerana keadaan landskap negara ketika ini dilihat memerlukan sebuah pasukan polis yang efektif dan berkesan.
"Setakat ini jumlah anggota polis yang sedia ada ialah 122,000 dan kekuatan lebih ramai anggota diperlukan agar selari dengan bilangan penduduk dan proses pembangunan negara masa kini," katanya kepada pemberita baru-baru ini dalam satu temubual khas sempena Hari Polis ke-204, Jumaat.
Beliau berkata sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka pintu kepada bekas anggota tentera yang berminat untuk menyertai pasukan polis.
"Sejak Januari lepas, kami memilih 100 orang bekas tentera yang berminat dan lulus syarat kelayakan untuk menyertai pasukan polis. Mereka ini berumur bawah 45 tahun, serta sudah berkhidmat dalam tentera sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun, dan mereka sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis, Kuala Kubu Bharu selama tiga bulan," katanya.
Katanya kumpulan bekas anggota tentera itu akan diberikan pengkhususan kerja yang bersesuaian mengikut kepakaran mereka masing-masing.
Robiah berkata oleh kerana setiap bekas anggota tentera ini masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri, mereka dikehendaki menjalani latihan hanya selama tiga bulan berbanding pelatih-pelatih lain yang perlu menjalani latihan antara enam hingga sembilan bulan.
"Oleh itu selepas tamat latihan, bekas tentera ini akan ditempatkan di balai-balai polis yang ditetapkan mengikut kesesuaian bidang kerja serta kemahiran mereka," katanya.
Menurutnya pengambilan bekas tentera itu juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan PDRM, dan menurut Robiah pihaknya juga sedang mengkaji premis-premis latihan bagi memenuhi perancangan menambah kekuatan sumber manusia PDRM.
Katanya PDRM juga menjalinkan kerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi program 'Smart Partnership' dalam aspek penggunaan premis untuk latihan asas pegawai dan anggota polis baru.
"Kami juga menggunapakai beberapa premis ATM termasuk di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan untuk mengadakan latihan asas kepada anggota polis baru. Melalui kerjasama ini, lebih ramai anggota polis baru dapat dilatih pada satu-satu masa pada setiap kali pengambilan," katanya.
Mengulas mengenai peranan beliau yang merupakan wanita pertama memegang portfolio tertinggi dalam PDRM selepas dilantik ke jawatan itu pada 13 Oktober lepas, Robiah berkata fokus utamanya kini adalah melahirkan modal insan yang berintegriti, kompeten dan berdaya saing.
"Fokus utama saya adalah menentukan modal insan yang berkualiti dapat dilahirkan di samping mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif," katanya yang turut menyifatkan pelantikannya sebagai satu dimensi baru dalam mengangkat martabat polis wanita.