KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- "Gunalah sentuhan sanubari dan jalankan tugas dengan ikhlas," demikian ingatan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail kepada setiap anggotanya demi memantapkan lagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata perasaan itu perlu disemai dalam diri setiap anggota polis supaya tugas yang diamanahkan dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.
"Sikap profesional sahaja tidak mencukupi bagi seseorang anggota polis. Setiap apa yang kita lakukan, perlu ada sentuhan sanubari atau perlu ada rasa nak lakukannya ... harus ikhlas, barulah setiap tugas yang dilaksanakan itu menjadi," katanya dalam temubual khas sempena Hari Polis yang bakal disambut pada Jumaat.
Beliau berkata setiap pegawai dan anggota juga perlu ada sikap untuk bersatu dan mempunyai personaliti yang menyenangkan agar dapat menyentuh hati individu di sekeliling mereka.
"Setiap anggota perlu ada perasaan sanggup bekerja dan bekerjasama, perkara-perkara inilah yang akan menjadi platform untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat," katanya.
Hussin menambah kekuatan kepimpinan yang ditunjukkan oleh pegawai dan ketua-ketua polis juga mampu memberi impak yang positif dalam melahirkan anggota yang lebih berdaya saing.
"Apabila ada ketua yang berkebolehan untuk memimpin dan mendapat kepercayaan dari anggota bawahan, anggota bawahan itu akan lebih bermotivasi dan berlumba-lumba untuk bersaing sesama mereka dalam menghasilkan kerja yang bermutu termasuk dalam penyelesaian kes-kes jenayah," katanya.
Justeru itu, pasukan akan dapat menangani pelbagai trend jenayah masa kini yang sentiasa mencabar kredibiliti PDRM.
Menurut Hussin, bagi mencapai matlamat itu, setiap bahagian serta jabatan dalam PDRM disaran mengubah cara berfikir dan perlu mempunyai kesedaran untuk saling melengkapi.
Beliau menyifatkan keadaan itu akan membawa kepada pencapaian dasar 'tidak ada pintu salah' dalam menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Hussin yang menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 September lepas berkata beliau bertanggungjawab untuk memperluaskan pelaksanaan dasar itu sejajar dengan saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Anggota perlu sedar bahawa mereka duduk di bawah satu bumbung iaitu PDRM. Tak kiralah mereka itu anggota trafik atau hanya bertugas di kaunter pertanyaan, mereka harus bersedia memainkan peranan sebagai anggota PDRM yang boleh menghulurkan bantuan kepada orang awam tanpa terhad kepada bidang tugas tertentu sahaja.
"Dasar ini telah pun kita guna pakai sejak setahun yang lepas dan saya berharap ia akan dilaksanakan secara optimum dan berterusan," tambah Hussin.
Selain itu, beliau berkata PDRM turut memberi penumpuan ke arah meningkatkan kebajikan anggotanya sejajar dengan usia PDRM yang ke-204.
Katanya, kebajikan itu diambil kira daripada pelbagai sudut termasuk dari segi latihan dan kesihatan.
"Pelbagai perancangan telah dibuat yang mana kita akan memperbanyakkan pusat serta program latihan, memberi bantuan kaunseling dan membudayakan kehidupan sihat di kalangan anggota polis.
"Kesemua faktor ini tidak boleh dipandang enteng kerana kami mahukan pasukan yang berkualiti sekaligus mampu mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara," katanya.