PETALING JAYA, 24 Mac (Bernama) -- Kesan-kesan kemalangan seperti goresan, serpihan kaca cermin dan kesan-kesan tayar di atas jalan raya, merupakan bukti kukuh yang diperlukan dalam sebarang kes-kes pendakwaan terhadap seseorang pesalah jalan raya, kata seorang pegawai penyiasat trafik berpengalaman.
Pegawai Penyiasat Pasukan Trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Lim Beng Thye berkata selain rakaman percakapan saksi serta mangsa, kesan-kesan di tempat kemalangan turut 'bercerita' kepada seseorang pegawai penyiasat (IO) mengenai kejadian.
Beliau memberi contoh jika motosikal bergesel dengan kenderaan sebelum terjatuh, kesan-kesan akan dilihat pada cat kenderaan yang terlibat, dan kesan-kesan ini akan menceritakan kejadian sebenar yang berlaku yang tidak boleh dinafikan lagi oleh mereka yang terlibat.
"Jika kemalangan berlaku pada waktu hujan, kesan masih dapat dilihat setelah jalan kering kerana kesan dan bukti-bukti tersebut tetap wujud walaupun kemalangan berlaku semasa jalan basah," katanya kepada Bernama.
Katanya untuk menjadi seorang IO yang mampu 'menterjemah' kesan-kesan kemalangan menjadi bukti, pegawai itu perlu menjalani pelbagai kursus untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran menyiasat.
Lim yang memulakan kerjayanya sebagai konstabel polis pada tahun 2003 berkata bukti yang terdapat pada jalan raya merupakan fakta yang paling tepat digunakan untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
Katanya jangka waktu untuk menyelesaikan sesuatu kes kemalangan jalan raya biasanya mengambil masa lebih kurang dua hari sahaja, selepas gambar kesan-kesan di jalan raya serta kenderaan yang terlibat dirakam, keterangan pemandu dan saksi diambil, dan selepas kenderaan dibawa ke Jabatan Kimia PDRM untuk melihat sekiranya punca kemalangan membabitkan aspek teknikal atau kecuaian pengguna.
Beliau berkata sepanjang pemerhatiannya, penunggang motosikal merupakan kumpulan paling ramai terlibat dalam kemalangan maut, kebanyakannya membabitkan kecederaan parah di kepala.
"Mungkin topi keledar yang digunakan tidak diikat dengan kemas atau topi keledar itu tidak mengikut piawaian yang ditetapkan, ia menyebabkan apabila berlaku kemalangan, topi tercabut, atau kepala penunggang mungkin digilis," katanya.
Pada mulanya memang agak sukar baginya untuk berhadapan dengan mangsa kemalangan yang tragis seperti itu, namun menurutnya semangat harus dikuatkan untuk menyelesaikan sesuatu tugas itu dengan sempurna.
"Mula-mula berhadapan dengan mangsa kemalangan sebegitu menyebabkan saya muntah dan tidak boleh tidur malam, namun atas nasihat anggota trafik yang berpengalaman, perasaan itu semua berjaya dikawal," katanya.
Menceritakan pula detik awal pembabitan dalam dunia trafik kepolisan, Lim berkata semasa menjadi konstabel dan ditugaskan menjaga lalu lintas, ia memang merupakan tugas yang mencabar dan memerlukan semangat kesabaran yang tinggi.
"Berdiri di bawah terik matahari sambil membenarkan kenderaan tidak kira ringan atau berat bergerak di kiri dan kanan, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh individu sembarangan," katanya.
"Jalan simpang besar antara yang paling sukar untuk dikawal sebab kenderaan bergerak laju tetapi trafik harus juga dikawal dan kebiasaannya untuk jangka masa satu hingga dua jam," katanya.