KOTA BAHARU, 24 Mac (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhi hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku salah memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu.
Hakim Rofiah Mohamad turut menjatuhi hukuman enam sebatan rotan terhadap Suphon Ehsan, 30, bagi kesalahan itu.
Suphon didakwa memiliki sepucuk Revolver 357 Magnum Cal Smith&Wesson tanpa sebarang permit atau lesen yang sah pada pukul 4.25 pagi, 25 Februari lalu di sebuah chalet Perdana Resort di sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh disebat tidak kurang enam sebatan.
Bagi tuduhan memiliki enam butir peluru hidup tanpa permit sah, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, kerana memiliki perluru itu pada tarikh, tempat dan masa yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000.
Untuk pertuduhan pertama itu, Rofiah menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan manakala bagi pertuduhan kedua Suphon dikenakan hukuman penjara empat tahun, kedua-duanya berkuatkuasa dari tarikh dia ditahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.