KLANG – Seorang duda anak satu dihukum penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merogol seorang gadis, dua tahun lalu.
Hakim, Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Ridzuan Muhammad Azhan, 25, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang gadis berusia 19 tahun.
Mohd Ridzuan yang bekerja kilang, mengaku merogol mangsa di bilik rumah kedai tingkat 2, Jalan Bendahara 9, Taman Sentosa, Klang, antara jam 11.30 dan 12.30 malam, pada 10 November 2009.
Mengikut fakta, mangsa berasal dari Felda Mayam Triang berkenalan dengan seorang lelaki bernama Nik.
Nik mengajak mangsa ke rumah kedai itu dan keluar meninggalkan mangsa di bilik rumah tersebut.
Semasa menunggu Nik, mangsa didatangi Mohd Ridzuan yang memaksanya membuka pakaian.
Mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan Mohd Ridzuan mengasarinya dengan bertindak memukul dan merentap pakaian serta merogol mangsa.
Mangsa yang berjaya melarikan diri membuat laporan di balai polis dan Mohd Ridzuan ditangkap pada 12 November 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Peguam, Khairil Anuar Azmi memohon mahkamah mempertimbangkan pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos pendakwaan.
Menurutnya, Mohd Ridzuan memperoleh pendapatan RM800 sebulan, masih menyara ibunya di kampung dan bekas isteri dan anaknya.
Aimi Syazwani memohon mahkamah jatuhkan hukuman berat berdasarkan faktor kepentingan awam dan kes serius.
Norsharidah memerintahkan Ridzuan dipenjara enam tahun dari tarikh tangkapan dan empat sebatan.