KUANTAN, 22 Mac (Bernama) -- Polis Pahang menganjurkan kursus Komunikasi Berkesan kepada anggotanya bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata kursus yang akan diadakan setiap bulan itu bertujuan memberi pendedahan kepada anggotanya agar lebih berkeyakinan dalam berinteraksi.
Kursus pertama, yang beliau rasmikan Selasa, disertai 33 anggota dari seluruh Pahang. Ia mendapat kerjasama daripada Kolej Komuniti Kuantan.
"Kita berharap dengan kursus ini seluruh anggota polis akan dapat diberi pendedahan komunikasi berkesan untuk lebih mendekatkan masyarakat dengan polis," kata Sharifuddin.