Rabu, 23 Mac 2011

Jual anugerah: SPRM tidak terima laporan

KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan setakat ini tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kegiatan penjualan darjah kebesaran negeri ini yang dilakukan sebuah pertubuhan. 

:Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor berkata, tiada laporan diterima pihaknya berhubung kes itu seperti yang dilaporkan media sebelum ini. 

“Setakat ini, sehingga kini kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kes itu. Macam mana hendak siasat jika tiada laporan dibuat kepada SPRM. 

“Difahamkan laporan polis sudah dibuat dan siasatan dijalankan mereka. Kebiasaannya hanya satu penguat kuasa sahaja yang akan menjalankan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai status kes pengurniaan darjah kebesaran termasuk Datuk oleh sebuah pertubuhan. 
:Akhbar kelmarin melaporkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dukacita terhadap sebuah pertubuhan yang ‘mengurniakan’ darjah kebesaran kepada individu dengan sewenang-wenangnya. 

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed berkata, kegiatan jual anugerah itu dilakukan sebuah pertubuhan yang mengurniakan pelbagai anugerah, termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada individu di dalam dan luar Kelantan. 

Beliau berkata, pertubuhan itu dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, pada 10 Januari lalu, memberikan ‘darjah kebesaran Kelantan’ kepada 120 penerima, mulai tahun lalu. 

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan pertubuhan terbabit mengurniakan lebih 100 anugerah kebesaran dalam satu majlis di sebuah bangunan di Pasir Mas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...