PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Penjawat awam perlu berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan pada masa kini sebagai usaha untuk melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan sistem penyampaiannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini termasuk melihat kembali sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.
Beliau berkata mungkin terdapat peraturan dan undang-undang serta surat pekeliling yang sesuai pada suatu ketika dahulu tetapi pada hari ini, tidak kena pada tempatnya.
"Yang penting, kita perlu berani berubah, sebelum perubahan menenggelamkan kita. Saya percaya, untuk berubah itu, ia adalah sesuatu yang amat perlu dilakukan dan bukan lagi sebagai suatu opsyen," katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa malam.
Beliau kemudiannya melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Jepun JPM, bagi membantu mengurangkan beban rakyat negara berkenaan yang dilanda gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Najib berkata penjawat awam juga perlu sentiasa relevan dan peka dengan kehendak pelanggan dan pemegang kepentingan, iaitu rakyat seperti yang ditekankan beliau melalui gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Beliau juga berkata sebagai nadi penggerak dan teras utama jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JPM perlu menunjukkan tadbir urus yang baik dan contoh teladan dalam perkhidmatan awam.
"Langkah itu sebagai usaha kita untuk terus mengorak langkah ke hadapan dan menjadikan tahun ini untuk meneruskan momentum dalam menggerakkan agenda utama negara," katanya.
-- BERNAMA