KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihati orang awam yang didekati oleh anggota penguatkuasa DBKL supaya meminta kad pengenalan diri anggota berkenaan.
Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zain berkata ini kerana terdapat kegiatan penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai anggota penguatkuasa DBKL terutama di sekitar kawasan Chow Kit.
"Mereka didapati bertindak memeras ugut orang awam yang didapati melakukan kesalahan dengan meminta wang dan merampas telefon bimbit. DBKL telah bertindak dengan menangkap individu terbabit. Dia telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi denda RM1,500," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan setempat DBKL di talian bebas tol 1 800 88 3255 jika terdapat maklumat mengenai kegiatan penyamaran yang melibatkan pihak penguatkuasa DBKL.
-- BERNAMA